Program Gotong-Royong Perdana Kampung Telaga Air
29 Mac 2015 | Aktiviti Terkini
Pada Ahad, 28 Mac 2015 yang lalu, Kampung Telaga Air telah mengadakan Program Gotong-Royong Perdana. Program ini merupakan program anjuran bersama Pusat Internet Kampung Telaga Air, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Telaga Air dan Progam ASASI UNIMAS. Program ini telah dimeriahkan oleh seramai 210 peserta dari Program ASASI UNIMAS yang terdiri daripada pelajar dan pensyarah, ahli Pusat Internet Kampung Telaga Air, serta komuniti setempat. Program ini berlangsung seawal jam 8.00 pagi dan berakhir kira-kira jam 5.00 petang. Program seperti ini diadakan bertujuan untuk mengeratkan silaturrahim sesama penduduk dan memupuk semangat bersatu padu dalam kalangan penduduk, disamping mendedahkan kepentingan menjaga kebersihan persekitaran tanpa mengira peringkat umur. Di samping itu juga, program seperti ini turut memberi peluang kepada Pusat Internet untuk lebih dekat dengan komuniti serta mendedahkan peranan Pusat Internet 1 Malaysia serta aktiviti-aktiviti yang telah dan akan dilaksanakan. Aktiviti Gotong- Royong ini merangkumi keseluruhan tempat awam di Kampung Telaga Air seperti dewan serbaguna, masjid, perpusatakaan desa, klinik, Balai Sri Nelayan, Esplanade, padang futsal, dan beberapa rumah warga tua di Kampung Telaga Air. Aktiviti gotong-royong berakhir pada pukul 11.30 pagi dan disambung dengan aktiviti santai sebagai selingan dengan karaoke dan berkenal-kenalan. Kemudian, para peserta menunaikan solat zohor berjemaah di masjid Darul Solihin Kampung Telaga Air dan menjamu selera di Esplanade Kampung Telaga Air yang merupakan tempat berkumpul bagi program ini. Di sebelah petang pula, program diteruskan dengan aktiviti sukaneka. Aktiviti ini diadakan bertujuan untuk memupuk semangat berpasukan dan menggalakkan aktiviti riadah dalam kalangan penduduk. Antara acara yang dilaksanakan adalah futsal, timang raga, petanque, bomb squad, menganyam ketupat, boling kelapa, belon air, lari dalam guni, mencari gula-gula dalam tepung, dan fesyen suratkhabar. Aktiviti sukaneka berakhir pada kira-kira jam 4.30 petang.
Kemudian, program diteruskan lagi dengan majlis penangguhan oleh Penghulu Kampung Telaga Air, Tuan Haji Murshidi bin Johari dan upacara penyampaian hadiah dan cenderahati. Program ini melabuhkan tirai pada pukul 5.30 petang.
Berikut adalah gambar sepanjang aktiviti ini dijalankan: